NEGARAKU
TANAH TUMPAHNYA DARAHKU
RAKYAT HIDUP BERSATU DAN MAJU
RAHMAT BAHAGIA TUHAN KURNIAKAN
RAJA KITA SELAMAT BERTAKHTA
RAHMAT BAHAGIA TUHAN KURNIAKAN
RAJA KITA SELAMAT BERTAKHTA
Peranan Lagu Kebangsaan bukan sahaja untuk membangkitkan semangat
patriotik terhadap negara bahkan ianya melambangkan sosiobudaya serta
mempaparkan cita-cita, hasrat dan harapan bangsa negara berkenaan. Lagu
Kebangsaan Malaysia dinamakan Negaraku. Maksud lirik lagu Negaraku ialah
menyeru rakyat dari berbagai bangsa, agama dan sosiobudaya hidup
bersatu padu dan mengejar pelbagai kemajuan. Di samping itu lagu ini
memohon rahmat dan kebahagiaan dari Allah untuk kesejahteraan raja,
rakyat dan negara tercinta Malaysia. Lagu Negaraku asalnya berentak
moderato sama seperti kebanyakan negara-negara beraja lain di dunia.
Walau bagaimanapun sesuai dengan perkembangan sosioekonomi negara, pada
30 Ogos 1993 iaitu sempena menyambut Perayaan Hari Kebangsaan tahun
1993, kerajaan telah mengubah rentaknya kepada rentak march iaitu lebih
cepat dan penuh bersemangat. Rakyat Malaysia yang cintakan negara dan
raja perlu mengetahui lebih dalam mengenai Negaraku supaya lebih
bersemangat patriotik.
SEJARAH LAGU KEBANGSAAN
Mengikut
rekod terdapat dua sumber mengenai asal usul Lagu Kebangsaan sebelum
lagu Negaraku ini dijadikan Lagu Kebangsaan Malaysia. Lagu tersebut
merupakan Lagu Kebangsaan Negeri Perak dan di samping itu juga lagu yang
popular bernama Terang Bulan. Mengikut cerita Tuan Haji Mustafa
Albakri, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, lagu ini telah
digunakan buat pertama kali sebagai Lagu Kebesaran Negeri Perak pada
tahun 1901 iaitu pada masa pertabalan Raja Edward VII di England.
Sultan
Idris Murshidul’adzam Shah (Marhum Rahmatullah) menjadi Sultan Negeri
Perak dari tahun 1887 hingga tahun 1916. Pada masa pertabalan Raja
Edward VII pada tahun 1901, Sultan Idris telah berangkat ke England
sebagai wakil Raja-raja Melayu bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dalam
Istiadat Pertabalan tersebut. Apabila tiba di Pelabuhan Southampton,
Pegawai Protokol dari pejabat koloni luar naik ke kapal dan bertanyakan
Lagu kebesaran Negeri Perak. Adalah menjadi amalan di England pada masa
itu bahawa apabila Ketua Negara atau Raja berangkat, lagu kebangsaan
negeri tersebut dimainkan.
Pada masa itu Negeri Perak tidak
mempunyai lagu kebesarannya sendiri. Raja Harun bin Sultan Abdullah,
Setiausaha Sulit kepada Sultan adalah seorang ahli muzik. Beliau
walaupun sedar bahawa Negeri Perak tidak mempunyai lagu kebesarannya
sendiri tidak mahu mengaku kalah. Beliau memberitahu Pegawai Protokol
tersebut bahawa Negeri Perak memang sudah ada lagu kebesarannya sendiri
tetapi not lagu tersebut tidak dibawa bersama. Namun begitu beliau
menyatakan bahawa beliau boleh memainkan lagu tersebut tanpa not.
Setelah
mendengar penerangan Raja Harun bin Sultan Abdullah maka Pegawai
Protokol pun membenarkan beliau memainkan lagu tersebut tanpa not. Maka
Raja Harun pun memainkan Lagu Kebesaran Negeri Perak tanpa not. Lagu
tersebut sebenarnya ialah lagu Terang Bulan. Dengan itu berkumandanglah
lagu Terang Bulan di bumi England pada tahun 1901 buat pertama kali dan
sekaligus menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak. Dari saat itu lagu Terang
Bulan menjadi Lagu Kebangsaan Negeri Perak sehingga ia dijadikan Lagu
Kebangsaan Negara dan seterusnya Lagu Kebangsaan Malaysia.
Satu
lagi sumber mengenai asal usul lagu Negaraku ialah cerita yang
disampaikan oleh Raja Kamarulzaman anak kepada Raja Mansur yang pernah
menjadi juruiring kepada Sultan Idris. Beliau menyatakan bahawa lagu
Terang Bulan ini mula dijadikan Lagu Kebangsaran Negeri Perak pada tahun
1888 apabila Sultan Idris melawat London iaitu setahun selepas baginda
ditabalkan. Baginda Sultan Idris berangkat ke London untuk menghadiri
Upacara Kemahkotaan Permaisuri Victoria pada tahun 1888. Setibanya
rombongan Diraja di London sebagai persediaan, wakil Permaisuri Victoria
telah meminta not Lagu Kebesaran Negeri Perak dari Raja Mansur,
juruiring Sultan Idris. Mengikut amalan protokol ketiga itu Lagu
Kebesaran Negeri Perak akan dimainkan sebaik sahaja baginda Sultan
berangkat masuk ke dewan majlis di mana istiadat yang berkenaan
dijalankan. Untuk mengelakkan malu maka dengan kebijaksanaan dan daya
usaha Raja Mansur, beliau telah menyatakan bahawa not lagu tersebut
terlupa dibawa. Walau bagaimanapun, Raja Mansur memberitahu wakil
Permaisuri bahawa sekiranya wakil Permaisuri dapat menyediakan seorang
pakar muzik yang boleh membuat not lagu, beliau boleh membunyikannya
dengan cara bersiul.
Lagu yang disiulkan itu adalah lagu yang
sangat popular dan digemari oleh penduduk Negeri Perak. Maka dengan itu
Lagu Kebesaran Negeri Perak buat kali pertamanya dimainkan secara rasmi
pada Upacara Kemahkotaan Permaisuri Victoria di London dan lagu itu
ialah lagu Terang Bulan. Tuan Haji Mubin Sheppard yang pernah memegang
jawatan Pengarah Arkib Negara telah membuat penyelidikan mengenai asal
usul lagu Negaraku ini. Beliau mendapati cerita dari dua adik beradik
iaitu Raja Aminah binti Almarhum Sultan Abdullah dan Raja Halijah binti
Almarhum Sultan Abdullah dan juga dari Raja Kamarulzaman.
Mengikut
dua adik beradik ini kali pertama mereka mendengar lagu ini yang
sekarang dikenali sebagai Negaraku ialah di Mahe, Kepulauan Seychelles
di mana ayahanda mereka iaitu bekas Sultan Perak, Sultan Abdullah
menetap dalam buangan. Mengikut mereka lagu tersebut sangat popular di
pulau tersebut dan selalu dimainkan oleh Pancaragam Perancis yang
biasanya memainkan pelbagai lagu dan membuat pertunjukkan konsert untuk
orang ramai di pulau berkenaan. Adalah dipercayai melodi ini telah
digubah oleh seorang ahli Muzik bangsa Perancis bernama Pierre Jean de
Beranger yang lahir di Perancis pada tahun 1780 dan meninggal dunia pada
tahun 1857.
Raja Kamarulzaman juga ada menceritakan bahawa lagu
ini telah diperkenalkan oleh Bangsawan dari Indonesia yang sedang
membuat pertunjukan di Singapura. Dalam tempoh yang singkat lagu ini
telah menjadi popular di Singapura dan diberi nama Terang Bulan.
Walaupun lagu ini menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak namun ia dimainkan
juga di majlis-majlis sebagai lagu hiburan. Pada masa itu lagu ini
terus menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak sehingga dijadikan Lagu
Kebangsaan Malaysia dengan nama Negaraku.
PEMILIHAN LAGU NEGARAKU
Pada
tahun tahun 1956 semua negeri di Tanah Melayu mempunyai lagu
kebesarannya sendiri. Walau bagaimanapun, belum ada sebuah lagu
kebangsaan yang merangkumi bagi seluruh negara. Pada ketika itu Malaya
berada di ambang kemerdekaan maka wajarlah ia mempunyai sebuah lagu
kebangsaan sendiri. Maka dengan itu satu ketetapan telah diambil untuk
mendapatkan sebuah lagu kebangsaan bercorak patriotik yang merangkumi
seluruh negara. Y.T.M. Tunku Abdul Rahman yang menjadi Ketua Menteri
merangkap Menteri Dalam Negeri pada ketika itu telah membuat ketetapan
agar sebuah lagu kebangsaan dicipta sebelum merdeka. Ekoran dari
ketetapan ini satu jawatankuasa telah dibentuk di mana bertujuan untuk
mendapatkan sebuah lagu kebangsaan yang sesuai bagi Malaya yang bakal
merdeka.
Y.T.M. Tunku Abdul Rahman mencadangkan agar diadakan
satu pertandingan mencipta lagu kebangsaan. Cadangan Y.T.M. Tunku ini
dipersetujui dan dilaksanakan. Pertandingan ini bukan sahaja terhad
kepada penduduk Malaya tetapi telah dibuka ke seluruh dunia dan hasilnya
sebanyak 514 buah lagu telah diterima dari seluruh dunia. Untuk
memilihnya sebuah jawatankuasa telah dibentuk untuk membuat pemilihan
dengan teliti dan sempurna.
Jawatankuasa pemilihan ini terdiri daripada :
Pengerusi :
1.Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj
Ahli-ahli :
2.Tuan Haji Mustafa Albakri, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu mewakili Raja-raja.
3.Dato’ Abdul Razak Hussein, Menteri Pelajaran.
4.Encik Ya’akob Latiff, Pengarah Penerangan.
5.Encik D.S.P. Croft, Pengarah Muzik, Band Polis Persekutuan.
6.Kapt. Lenthall, Pengarah Muzik, Askar Melayu.
7.Encik A.T. Read, Pengarah Penyiaran Radio.
Jawatankuasa
ini menjalankan tugasnya dengan bersungguh-sungguh. Mereka meneliti
setiap lagu yang diterima. Namun demikian Jawatankuasa ini berpendapat
bahawa tidak ada sebuah lagu dari 514 lagu yang dikemukakan yang
dianggap sesuai untuk dijadikan lagu kebangsaan. Jawatankuasa ini
kemudian berpendapat satu cara lagi untuk memperolehi lagu kebangsaan
yang baik ialah dengan menjemput beberapa penggubah lagu yang ternama
untuk menciptanya. Dengan itu jawatankuasa ini membuat keputusan
mempelawa beberapa penggubah lagu yang masyhur bertaraf antarabangsa
untuk mencipta khas lagu kebangsaan ini. Mereka yang dijemput khas untuk
menggubah lagu kebangsaan ini adalah terdiri daripada :
1. Benjamin Britten
2. Sir William Walton
3. Carlo Menetti dan
4. Zubir Said
Mereka
telah menggubah dan mencipta beberapa lagu kebangsaan untuk diteliti
oleh sebuah Panel Hakim yang dibentuk khas untuk membuat pertimbangan.
Panel Hakim berpendapat bahawa lagu ciptaan mereka adalah tinggi mutunya
namun mereka masih berpendapat bahawa tidak ada sebuah lagu yang boleh
dianggap sesuai untuk dijadikan lagu kebangsaan.
Setelah
dipertandingkan dan setelah mempelawa beberapa ahli penggubah lagu
termasyhur masih belum memperolehi hasil yang diharapkan maka akhirnya
Jawatankuasa ini membuat keputusan untuk mendengar kesemua lagu negeri
yang sedia ada. Tujuannya ialah untuk mengenalpasti sama ada di antara
lagu-lagu kebesaran negeri ini ada yang sesuai untuk dijadikan lagu
kebangsaan negara. Setelah mendengar kesemua lagu negeri maka
Jawatankuasa ini telah membuat keputusan bahawa Lagu Kebesaran Negeri
Perak adalah sangat sesuai untuk dijadikan sebagai lagu kebangsaan
negara. Maka dengan itu jadilah lagu itu sebagai Lagu Kebangsaan Malaya
yang merdeka dan akhirnya Lagu Kebangsaan Malaysia. Senikata lagu
kebangsaan ini telah ditulis bersama oleh Panel Hakim di mana Y.T.M.
Tunku Abdul Rahman telah memainkan peranan yang penting.
NEGARAKU
Wednesday, 8 August 2012
Posted by Unknown at 19:40
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment